
Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran peningkatan pada minggu depan, didorong oleh minat belian baharu yang kembali ketara dalam dua sesi dagangan terakhir, menurut Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan.
Beliau menjangkakan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan diniagakan dalam julat 1,540 hingga 1,550 mata, dengan potensi untuk menguji semula paras tertinggi sebelum tarikh akhir penangguhan tarif balas oleh Amerika Syarikat.
“Walaupun pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, masih belum mengumumkan sebarang pindaan rasmi terhadap tarif ke atas Malaysia, perkembangan positif melibatkan Indonesia dan Vietnam memberi harapan bahawa kadar tarif 25 peratus terhadap Malaysia juga akan dikaji semula,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, katanya, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2025 yang lebih kukuh daripada jangkaan dijangka memperbaiki sentimen pasaran.
“Gabungan pertumbuhan domestik yang mampan dan penilaian ekuiti yang kompetitif, terutama dalam persekitaran pelaburan berasaskan risiko, dijangka menarik aliran masuk pelabur asing ke dalam pasaran tempatan,” katanya lagi.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan ekonomi negara berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua tahun ini, mengatasi pertumbuhan 4.4 peratus pada suku sebelumnya, didorong permintaan domestik yang teguh meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Bagi minggu yang baru berakhir, FBM KLCI ditutup susut 10.21 mata kepada 1,525.86 berbanding 1,536.07 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas turut merosot 63.75 mata kepada 11,479.83, FBMT 100 turun 67.05 mata kepada 11,241.69 dan FBM Emas Syariah berkurangan 14.60 mata kepada 11,537.87.
FBM 70 mencatat penyusutan sebanyak 63.63 mata kepada 16,697.72, manakala FBM ACE melonjak 133.62 mata kepada 4,671.79.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 253.30 mata kepada 17,354.83, Indeks Perladangan turun 8.56 mata kepada 7,441.89 manakala Indeks Tenaga mencatat peningkatan 1.51 mata kepada 739.13.
Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 15.53 bilion unit bernilai RM11.77 bilion berbanding 16.21 bilion unit bernilai RM11.43 bilion minggu sebelumnya.
Dagangan di Pasaran Utama turut berkurangan kepada 6.73 bilion unit bernilai RM10.07 bilion daripada 6.99 bilion unit bernilai RM10.02 bilion. Dagangan waran pula susut kepada 6.83 bilion unit bernilai RM966.72 juta daripada 7.82 bilion unit bernilai RM911.38 juta.
Bagaimanapun, Pasaran ACE menunjukkan peningkatan dengan jumlah dagangan mencecah 1.97 bilion unit bernilai RM729.96 juta, berbanding 1.41 bilion unit bernilai RM490.78 juta pada minggu sebelumnya.
– BERNAMA

