
Sarawak Teliti Mekanisme Penyaluran Bantuan RM15,000 Setahun kepada Pelajar B40 di IPTA Seluruh Negara
KOTA SAMARAHAN, 4 Nov — Dalam usaha menjamin tiada anak Sarawak tercicir daripada peluang pendidikan tinggi, kerajaan negeri kini meneliti kaedah terbaik menyalurkan bantuan kewangan RM15,000 setahun kepada pelajar B40 yang menuntut di IPTA seluruh negara.
Premier Tan Sri Abang Johari Openg berkata buat masa ini, bantuan tersebut hanya diberikan kepada pelajar universiti yang dimiliki kerajaan negeri.
Namun, beliau menegaskan hasrat untuk meluaskan manfaat itu kepada semua pelajar anak Sarawak tidak kira di mana mereka belajar.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan setiap anak Sarawak berpeluang menimba ilmu tanpa beban kewangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-29 UNIMAS di Kota Samarahan, hari ini.
Buat masa ini, kerajaan negeri menyediakan Bantuan Kewangan Khas sebanyak RM1,200 setahun kepada pelajar Sarawak yang menuntut di mana-mana IPTA atau IPTS, termasuk UNIMAS.
Inisiatif itu melengkapi pelaksanaan pendidikan tinggi percuma bermula tahun hadapan di empat universiti milik kerajaan negeri — Swinburne Sarawak, Curtin Malaysia, University of Technology Sarawak, dan i-CATS University College — yang turut menawarkan elaun RM15,000 setahun kepada pelajar daripada isi rumah berpendapatan per kapita bawah RM1,500.

