BUDI95 Diperluas: Had Kelayakan E-Panggilan Naik 800 Liter, Teksi Lapangan Terbang Kini Tersenarai

BUDI95 Diperluas: Had Kelayakan E-Panggilan Naik 800 Liter, Teksi Lapangan Terbang Kini Tersenarai

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan subsidi petrol RON95 bagi pemandu e-panggilan di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 800 liter sebulan, tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti rayuan yang diterima daripada golongan pemandu e-panggilan berdasarkan keperluan dan corak penggunaan sebenar bahan api mereka.

“Bagi bulan Oktober, kerajaan telah menambah had kelayakan daripada 300 kepada 600 liter sebulan untuk pemandu e-panggilan aktif, memberi manfaat kepada lebih 58,000 orang pemandu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar turut mengumumkan bahawa teksi lapangan terbang kini layak menerima petrol bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Beliau menjelaskan bahawa pada Oktober lepas, 13.1 juta rakyat Malaysia telah menggunakan RON95 bersubsidi dengan perbelanjaan sebanyak RM2.6 bilion, termasuk RM800 juta subsidi kerajaan.

Purata penggunaan bulanan penerima BUDI95 dicatatkan sebanyak 98 liter, iaitu hanya 33 peratus daripada kuota 300 liter, sementara hanya 0.7 peratus penerima menggunakan keseluruhan kuota mereka.

Setakat 31 Oktober, hampir 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen turut diluluskan menerima bantuan BUDI95.

Menjawab pertanyaan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) mengenai sebab kerajaan melaksanakan skim yang turut memanfaatkan golongan T15, Anwar berkata pendekatan semasa diambil kerana ia lebih praktikal dan menjimatkan kos penguatkuasaan.

“Menetapkan had pendapatan seperti RM13,000 atau RM20,000 masih menekan golongan menengah atas. Jika naik kepada RM50,000, bilangannya sangat kecil tetapi kos pemantauan meningkat. Jadi kita laksanakan dahulu, dan akan diperhalusi apabila sistem lebih mantap,” jelasnya.

Menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) mengenai kesan pelaksanaan BUDI95 dalam konteks tekanan ekonomi global seperti tarif Amerika Syarikat terhadap barangan Malaysia, Anwar berkata kerajaan sedang memantau kesannya terhadap kos logistik dan pengangkutan.

“Walaupun banyak barangan termasuk semikonduktor dan minyak sawit diberi pengecualian tarif, kerajaan tetap meneliti kesannya dan akan menyesuaikan dasar sekiranya perlu supaya rakyat tidak terbeban,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan Amerika Syarikat, yang menurunkan kadar tarif purata daripada 25 kepada 19 peratus, serta memperluas akses pasaran bagi eksport utama negara.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )