Air Sungai Perak Bertukar Biru: Tiga Lombong Dihenti Operasi

Air Sungai Perak Bertukar Biru: Tiga Lombong Dihenti Operasi

IPOH, 5 Nov — Kerajaan Perak bertindak pantas menghentikan operasi tiga syarikat perlombongan di Hulu Perak selepas air Sungai Perak bertukar warna kebiruan, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan di kawasan Gerik.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata arahan tersebut dikeluarkan sejurus laporan awal diterima.

“Mereka beroperasi secara sah, namun arahan berhenti sementara dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya di Program Jelajah Taat Setia Madani Negeri Perak, hari ini.

Kerajaan negeri turut mengarahkan agensi seperti JPS, JMG, PTG dan JAS untuk menyiasat punca sebenar perubahan warna air itu.

“Kita tunggu laporan penuh sebelum keluarkan kenyataan rasmi selepas mesyuarat Exco esok,” jelas Saarani.

Menurut JAS, indeks kualiti air terkini menunjukkan paras bacaan WQI 93, namun tiga kawasan perlombongan — termasuk satu lombong nadir bumi (REE) dan dua lombong bijih timah — sedang diperiksa bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )