
PRN Sabah: Isu Khidmat dan Tadbir Urus Perlu Diutamakan, Bukan Sentimen Wilayah – Anwar
JOHANNESBURG — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa PRN Sabah kali ini harus dilihat sebagai peluang untuk rakyat memilih parti yang benar-benar mampu memacu pembangunan negeri, bukan sebagai medan mempertajam perbezaan antara parti Sabah dan Semenanjung.
Beliau berkata politik berasaskan sentimen wilayah tidak membantu menyelesaikan masalah struktur yang telah lama menghantui negeri tersebut.
“Parti yang meniup sentimen itu tidak membincangkan isu sebenar. Isu asas ialah tatakelola lemah, isu air yang berpanjangan, dan kehilangan hasil negeri yang merugikan rakyat,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa Sabah memerlukan pentadbiran yang cekap, stabil dan berfokus kepada penyelesaian masalah, bukannya retorik politik.
Beliau menyeru rakyat membuat pilihan berdasarkan kemampuan parti untuk memimpin, bukan berdasarkan retorik anti pihak luar.
PRN Sabah berlangsung pada 29 November manakala undi awal ditetapkan pada 25 November.

