
Chiew bangkit isu kekurangan bekalan dialisis
Chiew bangkit isu kekurangan bekalan dialisis, umum RM14.5 juta makmal jantung untuk Hospital Miri
MIRI: Langkah penting ke arah memperkukuh perkhidmatan kesihatan di utara Sarawak tercapai apabila Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berjaya mendapatkan kelulusan RM14.5 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Makmal Kardiologi Invasif (ICL) di Hospital Miri.
Dalam masa sama, Chiew turut menyuarakan kebimbangan masyarakat terhadap kekurangan bekalan larutan dialisis peritoneal (PD) yang menjejaskan pesakit buah pinggang di hospital berkenaan.
Katanya, isu berkenaan dibangkitkan ketika pertemuan rasmi bersama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, bagi mencari jalan penyelesaian segera.
“Saya percaya sistem kesihatan Sarawak memerlukan perhatian yang lebih serius agar rakyat di semua kawasan, termasuk pedalaman, mendapat akses rawatan yang setara,” ujarnya.
Projek pembinaan ICL itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RML12) dan Belanjawan 2025, dengan proses tender dijangka bermula bulan ini dan siap sepenuhnya menjelang 2027.
Apabila siap, kemudahan tersebut akan memberi manfaat besar kepada pesakit jantung di wilayah utara yang selama ini terpaksa ke Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan.
Chiew turut menggesa agar pengagihan sumber kesihatan dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif, bukan hanya tertumpu di pusat bandar utama.
Beliau menambah, perjuangan seterusnya ialah memastikan Hospital Miri turut dilengkapi dengan kemudahan radioterapi untuk rawatan kanser.
“Langkah ini akan membantu mengurangkan tekanan emosi dan beban kewangan pesakit yang terpaksa berulang-alik jauh ke Kuching,” jelas beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada Lukanisman atas kerjasama berterusan dalam memajukan sektor kesihatan Sarawak.

