Demam ‘Blind Box’ Melanda, Ibu Bapa Mula ‘Pening Kepala’

Demam ‘Blind Box’ Melanda, Ibu Bapa Mula ‘Pening Kepala’

Mainan misteri kini menjadi kegilaan baharu! Dari kedai cenderamata hingga pusat beli-belah, rak dipenuhi blind box – kotak comel yang tidak mendedahkan isi di dalamnya. Sekali buka, barulah tahu watak apa yang diperoleh. Itulah yang membuatkan kanak-kanak teruja… dan ibu bapa ‘menangis dalam hati’.

Fenomena ini nampak menyeronokkan, tetapi menurut Datuk Mohd. Faiz Zulkifli dari Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), elemen kejutan dalam blind box berisiko menyebabkan ketagihan.

“Ia memberi rasa seronok seketika seperti permainan nasib. Kanak-kanak mahu beli lagi dan lagi untuk lengkapkan koleksi,” katanya.

Masalahnya, harga bukan murah. Satu blind box boleh mencecah RM80, malah ada yang menjual versi terhad hingga ratusan ringgit. Tidak hairanlah ada ibu bapa sanggup berbelanja besar setiap bulan.

Roslina Alias, 36, misalnya, pernah beralah demi anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.

“Anak saya sanggup tak makan di kantin untuk kumpul duit beli blind box. Akhirnya saya belikan satu, cuma tak sangka harganya RM50!” ujarnya sambil ketawa kecil.

Pakar berpendapat trend ini semakin membimbangkan apabila kedai-kedai blind box tumbuh seperti cendawan dan menargetkan kanak-kanak dengan iklan berwarna-warni di media sosial. Jika tidak dikawal, ia bukan sekadar hobi — tetapi boleh menjadi ketagihan yang memberi kesan kepada kewangan keluarga.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )