Cristian Raileanu Tawan Takhta Keseluruhan Tour Gateh D’Tranung 2025

Cristian Raileanu Tawan Takhta Keseluruhan Tour Gateh D’Tranung 2025

KUALA TERENGGANU, 4 November — Pelumba berdarah Romania, Cristian Raileanu, melakar sejarah baharu buat Malaysia Pro Cycling (MPC) apabila menamatkan saingan Tour Gateh D’Tranung 2025 sebagai juara keseluruhan, selepas lapan hari perlumbaan sengit menakluki laluan sejauh 887.7 kilometer di seluruh negeri Terengganu.

Raileanu mengekalkan genggaman ke atas jersi kuning Raudah Cahaya Foundation (ketegori keseluruhan) selepas merekodkan masa kumulatif 56 jam, 46 minit dan 58 saat, sekali gus memastikan MPC dinobatkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan kejohanan berprestij itu.

Pasukan TSS X Keropok Bayu Cycling Team menamatkan cabaran di tempat kedua, manakala Terengganu Cycling Team (TSG) — kebanggaan negeri tuan rumah — berada di tangga ketiga.

Kecemerlangan MPC tidak terhenti di situ. Pelumba muda dari Switzerland, Jonas Muller, menambah gemilang pasukan apabila berjaya mempertahankan jersi putih MSNT bagi kategori pelumba bawah 23 tahun terbaik (U-23).

Turut mencuri perhatian, Muhamad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri daripada RCF Cycling Team dinobatkan sebagai pelumba kelab tempatan terbaik, sekali gus menyarung jersi oren KBS hasil kayuhan konsisten sepanjang kejohanan.

Sementara itu, Pasukan Tentera Darat Malaysia (ATM) turut menonjol dengan kejayaan berganda. Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil memastikan jersi hijau Ladang Rakyat (pelumba pecut terbaik) kekal milik ATM, manakala rakan sepasukan Muhammad Zawawi Azman menakluk kategori pendakian untuk meraih jersi polka TDM Berhad (pelumba pendaki terbaik).

Tour Gateh D’Tranung tahun ini menampilkan 133 pelumba dari pelbagai negara dengan cabaran unik — daripada laluan pesisir pantai yang berangin hingga ke kawasan berbukit yang menguji stamina dan strategi.
Perlumbaan ini bukan sahaja menjadi pentas kehebatan kayuhan, tetapi turut memperlihatkan keindahan landskap dan semangat sukan rakyat Terengganu yang semakin menyerlah di peta sukan berbasikal Asia.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )