
Van Engelen Dedikasi Kemenangan Kepada Pasukan TSG
MARANG (3 Nov) – Dalam cuaca hujan dan permukaan jalan yang licin, pelumba Belanda Adne Willem Jan Van Engelen membuktikan kecekalan serta semangat berpasukan apabila menghadiahkan kemenangan penuh emosi buat Terengganu Cycling Team (TSG) di Peringkat Ketujuh Tour Gateh D’Tranung 2025.
Pelumba berusia 32 tahun itu berjaya menamatkan kayuhan di puncak Lubuk Batu dengan cemerlang, sekali gus mengekalkan dominasi TSG dan melonjak ke tempat kedua Klasifikasi Individu Keseluruhan (Jersi Kuning) menjelang peringkat terakhir esok.
“Perlumbaan bermula dengan baik tetapi berubah menjadi sangat mencabar apabila hujan turun.
Kami tahu pendakian terakhir akan menjadi penentu, jadi saya pastikan berada di depan sejak awal,” kata Van Engelen.
Beliau hampir berdepan kemalangan apabila pelumba lain terjatuh di hadapan.
“Saya sempat mengelak, tapi hilang sedikit jarak. Dari situ saya pilih untuk kekal tenang dan mengekalkan rentak sendiri hingga ke penamat,” katanya.
Walaupun terpaksa berhati-hati di jalan licin, Van Engelen kekal fokus dan tidak menyerah.
“Saya tidak boleh kayuh sepenuhnya kerana keadaan terlalu berisiko, tapi saya terus menolak hingga ke garisan penamat.
Ini kemenangan untuk pasukan, bukan diri saya,” katanya penuh emosi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakan sepasukan.
“TSG beraksi luar biasa hari ini. Mereka bantu saya di setiap peringkat penting, jadi kemenangan ini adalah hasil kerja keras semua,” katanya.
Pelumba muda Kee Zhe Yie turut mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Bawah 23 Tahun (U23) bagi peringkat ketujuh.
Anak kelahiran Dungun berusia 22 tahun itu kini berada di tempat kelima keseluruhan dan kedua dalam kategori U23.

