
Dua pegawai bomba bantu mangsa hanyut, bukti kesiapsiagaan JBPM di semua peringkat
TASEK GELUGOR – “Mereka tidak fikir panjang, terus bertindak.” Itulah kata-kata Ketua Zon 4 JBPM Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba II Rosli Zakaria, menggambarkan keberanian dua pegawai bawahannya yang menyelamatkan seorang wanita muda daripada dihanyutkan arus di Jalan Pokok Machang, di sini.
Kedua-dua pegawai berkenaan, Luqman Mahmud dan Zainudin Abu Bakar, sedang dalam perjalanan pulang dari tugasan apabila melihat keluarga mangsa mencari wanita berusia 23 tahun itu. Mereka segera membantu dan akhirnya menemui mangsa tersangkut pada semak berhampiran paya, dalam keadaan cedera dan keletihan.
Mangsa dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal sebelum terjatuh ke kawasan berair dan dihanyutkan arus.
Rosli berkata, tindakan kedua-dua pegawai itu membuktikan bahawa semangat penyelamat sejati tidak memerlukan masa untuk berfikir panjang.
“Mereka bertindak secara naluri, mengutamakan nyawa sebelum apa-apa. Inilah nilai yang kami tanam dalam setiap anggota bomba,” katanya.

