
Edmund Teo–Boon Wei Ying rangkul gangsa, raih penamat manis buat Malaysia di Deaflympics Tokyo
TOKYO — Pasangan beregu campuran negara, Edmund Teo dan Boon Wei Ying, memastikan Malaysia tidak pulang tangan kosong selepas menamatkan cabaran badminton Deaflympics 2025 dengan kemenangan bergaya untuk membawa pulang pingat gangsa hari ini.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga di Keio Arena, mereka menundukkan pasangan India, Abhinav Sharma–Jerlin Jayaratchagan 21–13, 23–21, sekali gus bangkit selepas kekalahan mengecewakan di peringkat separuh akhir semalam.
Edmund, melalui jurubahasa isyarat, berkata kekalahan sebelum ini masih dirasai, namun fokus mereka adalah memastikan Malaysia tetap naik podium.
Wei Ying pula mengakui emosinya tidak dapat ditahan kerana mereka mahukan final, tetapi tetap bersyukur dengan pencapaian yang memberi suntikan semangat kepada kontinjen Malaysia.
Gangsa ini hadir dengan nilai sentimental kerana pasangan India yang ditumpaskan hari ini ialah pasangan sama yang menewaskan mereka di final Deaflympics 2022.

