
Harga Tiket Penerbangan ke Sabah, Isu Kesesakan Jalan di Johor Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka membincangkan tiga isu penting — harga tiket penerbangan domestik ke Sabah, kesesakan jalan raya di Johor, dan keseimbangan pelaburan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan keselamatan sumber negara.
Ahli Parlimen Vivian Wong Shir Yee (PH–Sandakan) dijangka mengemukakan persoalan kepada Menteri Pengangkutan mengenai kos sebenar tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke bandar-bandar utama di Sabah seperti Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu. Beliau juga akan mencadangkan supaya subsidi tiket penerbangan didedahkan kepada pembeli bagi meningkatkan ketelusan.
Sementara itu, Muhammad Islahuddin Abas (PN–Mersing) akan menumpukan perhatian kepada kesesakan lebuh raya dan jalan utama di Johor, khususnya di kawasan Iskandar Malaysia, susulan pertumbuhan pesat ekonomi dan pembangunan infrastruktur baharu menjelang pelaksanaan JS-SEZ (Johor–Singapore Special Economic Zone).
Isu pelaburan teknologi turut dibangkitkan oleh Oscar Ling Chai Yew (PH–Sibu), yang mahu kerajaan menjelaskan jumlah kelulusan projek pusat data, penggunaan tenaga dan air, serta langkah memastikan pelaburan AI tidak menjejaskan sumber negara.
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan meneruskan perbahasan Belanjawan 2026 di peringkat jawatankuasa.
Sidang kali ini merupakan sebahagian daripada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15, yang berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember 2025.

