
PRN Sabah: Hajiji Akui Risiko Pertindihan Kerusi, Tegas GRS Kekal Bersama PH
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengakui kemungkinan berlaku pertindihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, namun menegaskan kerjasama politik kedua-dua gabungan tetap utuh.
Menurut Hajiji, proses pemilihan calon kini berada di peringkat akhir dengan semua nama sudah dimuktamadkan.
Beliau percaya sebarang pertembungan kecil tidak akan menjejaskan semangat persefahaman dalam kerajaan gabungan.
“Saya yakin kerjasama dengan PH masih kukuh. Kalau ada sedikit pertindihan pun, itu perkara biasa dalam politik gabungan besar,” katanya selepas majlis penyampaian watikah Felo SMJ 4.0 di Menara Kinabalu, semalam.
Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), turut mengingatkan ahli parti agar kekal berdisiplin dan tidak mudah kecewa jika tidak dipilih sebagai calon.
“Kita tidak singkir sesiapa. Kalau mereka keluar parti, itu keputusan sendiri. Pemimpin sejati berjuang kerana prinsip, bukan jawatan,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengumuman calon GRS akan dibuat pada 11 atau 12 November, manakala pelancaran manifesto rasmi dijadualkan selepas hari penamaan calon.

