Jambatan Baharu Geliga Che Akob Siap, RM300,000 Diperuntuk Untuk Keselesaan Penduduk

Jambatan Baharu Geliga Che Akob Siap, RM300,000 Diperuntuk Untuk Keselesaan Penduduk

KEMAMAN — Laluan utama penduduk Kampung Geliga Che Akob kini kembali dibuka dengan siapnya jambatan baharu hasil peruntukan RM300,000 daripada kerajaan negeri Terengganu.

Menurut Dato’ Hanafiah Mat (ADUN Cukai), pembinaan jambatan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur luar bandar dan memastikan keselamatan rakyat terjamin.

“Jambatan ini runtuh kira-kira enam bulan lalu akibat hakisan. Kini, dengan pembinaan semula yang siap sepenuhnya sejak awal Ogos, penduduk dapat menggunakan laluan ini tanpa lagi berdepan risiko,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa jambatan tersebut juga penting bagi komuniti nelayan tempatan yang bergantung kepada laluan itu untuk ke kawasan kerja setiap hari.

Dalam pada itu, Zukefeli Hamzah, Pengerusi JPKK Geliga Jambatan, berkata projek ini memberi impak besar kepada penduduk kampung.

“Jambatan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan, tetapi juga membantu meningkatkan aktiviti ekonomi setempat, termasuk hasil tangkapan nelayan dan perniagaan kecil di kampung kami,” jelasnya.

Beliau menambah, inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur di peringkat akar umbi terus diberi keutamaan.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )