
Empangan Sarawak Jadi Platform Tenaga Hijau Serantau – Abang Johari
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata empangan hidroelektrik di negeri ini kini dijadikan platform tenaga hijau menyeluruh bagi memperkukuh peralihan tenaga bersih.
Beliau berkata, Empangan Hidroelektrik Batang Ai menjadi contoh terbaik apabila turut menempatkan Ladang Solar Terapung melalui pendekatan hibrid hidro-solar.
“Empangan kita bukan sahaja menjana tenaga, tetapi juga membantu pengurusan air dan menyumbang kepada keselamatan tenaga serantau,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Datuk Ibrahim Baki semasa Persidangan ICDSME 2025 di Kuching hari ini.
Abang Johari turut memaklumkan bahawa Sarawak Energy Berhad telah menerima kelulusan daripada Singapura untuk mengeksport 1,000 megawatt tenaga hijau melalui projek sambungan kabel dasar laut.
Katanya, keselamatan empangan kini menjadi agenda strategik di bawah PCDS 2030, sejajar dengan matlamat Sarawak menuju negeri maju berpendapatan tinggi dan lestari.

