
Opereta Puisi Melayu Bitara 2025: Pentas Menyemarakkan Sejarah, Bahasa dan Jiwa Bangsa
PETALING JAYA — Warisan tamadun Melayu bakal sekali lagi diangkat ke gelanggang seni apabila Persatuan Teater Malaysia (PTM) mempersembahkan produksi besar-besaran berjudul Opereta Puisi Melayu Bitara: Warisan Jiwa Melayu – Dari Tamadun ke Perpaduan, sebuah pementasan yang menghimpunkan kekuatan bahasa, puisi, sejarah dan identiti bangsa. Persembahan istimewa ini dijadual berlangsung pada 27 November, jam 8.30 malam di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Dianjurkan oleh PTM dengan kerjasama DBP serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pendidikan Islam, produksi ini turut diperkukuh dengan sokongan daripada Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan IPGM.
Presiden PTM dan pengarah pementasan, Sakrani Samsuddin, menjelaskan bahawa opereta ini lahir daripada karya pemikir bahasa dan tokoh sastera Melayu, Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang terkenal dengan gagasannya tentang martabat bangsa dan ketinggian tamadun Melayu. Menurut Sakrani, karya tersebut dipilih kerana keupayaannya merangkum perjalanan panjang sejarah Melayu dalam bentuk penceritaan yang sarat makna.
Beliau berkata opereta itu menampilkan bentuk teater puisi moden yang menyatukan unsur deklamasi, lakonan dramatik, tarian artistik dan nyanyian, menjadikannya persembahan menyeluruh yang bukan hanya menghiburkan, tetapi juga mencerdaskan.
“Ini bukan pementasan biasa. Ia merupakan sebuah manifesto seni yang merakam perjalanan tamadun Melayu sejak akar sejarahnya. Opereta ini mengajak penonton kembali merenungi persoalan mendasar mengenai identiti bangsa—siapakah Melayu itu sebenarnya?” katanya.
Menurut Sakrani, naratif pementasan ini membawa penonton mengikuti perjalanan bangsa Melayu daripada zaman kegemilangan pemerintahan dan ilmu, ke era perpecahan serta kejatuhan, sebelum memasuki babak kebangkitan baharu yang digerakkan oleh kesedaran jati diri.
“Pementasan ini bukan sekadar penceritaan sejarah. Ia menggabungkan emosi, falsafah dan simbolisme melalui monolog, puisi, gerak tari dan nyanyian. Daripada persoalan bahasa sebagai nadi tamadun, hingga renungan tentang perpaduan dan maruah bangsa — semuanya disulam dalam susunan yang dramatik dan penuh warna,” tambahnya.
Sakrani menekankan bahawa projek ini menjadi platform penting untuk menghidupkan semula tradisi seni teater Melayu dalam konteks moden, selain memupuk apresiasi terhadap bahasa dan sastera sebagai teras peradaban.
“Bahasa dan sastera Melayu adalah tunjang pembinaan tamadun. Dengan opereta ini, kami berharap masyarakat menyedari bahawa seni bukan sekadar hiburan; ia adalah landasan untuk membina bangsa dan memartabatkan budaya,” ujarnya.
Pementasan ini menghimpunkan rangkaian puisi pilihan karya Prof. Awang Sariyan yang disusun mengikut kesinambungan dramatik. Antara puisi yang dipentaskan termasuk Maaf Hamba Bertanya, Quo Vadis Bahasaku?, Tragedi Perpecahan Alam Melayu Raya, Melayu Itu Siapa, serta Madah Jebat Ketika Rebah di Pangku Tuah — masing-masing membawa tema yang kuat dan simbolisme mendalam.
Barisan persembahan pula terdiri daripada nama-nama besar dalam dunia puisi dan teater seperti Datin Seri Haryani Haron, Datin Seri Nurmala, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Lin Haslinaz, Lim Ah Nee, Dr. Ferri Anugerah Makmur, serta Marzelan Perindu Seni, menjadikan opereta ini antara karya paling berprestij dalam kalendar seni 2025.

