
FAM akan terus perjuang kes pemain warisan, rancang rayuan ke CAS
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima keputusan FIFA yang menolak rayuan terhadap hukuman disiplin melibatkan badan itu dan tujuh pemain warisan negara.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan meminta penjelasan rasmi dan alasan bertulis daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Keputusan ini mengejutkan kami, namun FAM akan terus mempertahankan hak pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia,” katanya.
FIFA sebelum ini mengekalkan semua hukuman termasuk denda CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas FAM dan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan.
Mereka ialah Imanol Machuca, Facundo Garces, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero dan Rodrigo Holgado.
Hukuman itu berpunca daripada pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

