Petagas jadi tumpuan: PKR Sabah tuntut satu kerusi sahaja dalam PRN akan datang

Petagas jadi tumpuan: PKR Sabah tuntut satu kerusi sahaja dalam PRN akan datang

PUTATAN — Dalam landskap politik Sabah yang sentiasa berubah, PKR membuat pendirian jelas — mereka hanya mahukan satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) nanti: Petagas.

Bagi Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi PKR Sabah merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, keputusan ini bukan soal kuasa, tetapi soal strategi dan prinsip.

“Petagas ini istimewa. Ia asalnya dimenangi oleh Warisan, kemudian wakil rakyatnya berpindah ke Gagasan Rakyat. Jadi, kerusi seperti ini boleh dirunding semula. Kita hormat kerusi penyandang asal, tapi untuk kerusi yang berubah parti, wajar dibuka untuk perbincangan,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Harapan Urang Sabah di Kampung Ketiau.

Mustapha menegaskan, kekuatan PKR di kawasan itu bukan rekaan. “Dalam PRU15, calon kita kalah hanya 124 undi. Itu bukti asas sokongan kita di sini kukuh. Jadi kita hanya mohon satu kerusi — Petagas — walaupun sebenarnya kita layak lebih,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa langkah ini menunjukkan kesediaan PKR untuk kekal bekerjasama dengan parti-parti sekutu, mengelak pertindihan calon dan memastikan kemenangan bersama.

“Matlamat kita bukan sekadar bertanding, tapi menang bersama. Petagas ialah permulaan,” ujarnya penuh keyakinan.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )