Polis Patahkan Cubaan Bawa Masuk PATI Myanmar, Orang Ramai Diingatkan Waspada

Polis Patahkan Cubaan Bawa Masuk PATI Myanmar, Orang Ramai Diingatkan Waspada

KUALA BERANG – Polis mengingatkan masyarakat agar tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran selepas menahan enam warga Myanmar yang memasuki negeri ini secara haram semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, berkata keenam-enam individu itu, termasuk tiga wanita, ditahan kira-kira jam 3.30 petang selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 388.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

“Siasatan mendapati seorang lelaki berusia 35 tahun menyewa Honda Civic dari Selangor pada 1 November lalu untuk membawa lima warga Myanmar ke Terengganu tanpa dokumen sah,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas pasukan Bahagian D7 JSJ IPK Terengganu bersama pegawai operasi Lebuhraya Zon Timur 4 membawa kepada penahanan segera suspek.

“Kesemua mereka berumur antara 22 hingga 35 tahun dan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Polis turut merampas telefon bimbit serta kenderaan yang digunakan dalam urusan penyeludupan itu,” jelasnya.

Kes kini disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 serta Akta Imigresen 1959/63.

Sharudin turut menasihatkan masyarakat agar tidak menjadi ejen atau pengantara kepada mana-mana kumpulan penyeludupan migran.

“Kegiatan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )