Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja UniSZA Nasihat Anak Muda Utamakan Ilmu Berbanding Populariti

Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja UniSZA Nasihat Anak Muda Utamakan Ilmu Berbanding Populariti

KUALA NERUS (3 Nov) – Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Che Wan Nur Damia Che Wan Roslan, menyeru anak muda agar mengutamakan pendidikan dan tidak menukar ilmu dengan populariti sementara di media sosial.

Menurutnya, ramai generasi muda kini terlalu tertarik dengan kerjaya sebagai pempengaruh sehingga melupakan kepentingan menimba ilmu di peringkat lebih tinggi.

“Kepada yang ingin jadi ‘influencer’, teruskan — tetapi utamakan pendidikan dahulu. Dengan ilmu, kita dapat berkongsi kandungan yang lebih bernilai dan berfaedah kepada masyarakat,” katanya selepas menerima anugerah tersebut di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-17 UniSZA, di Dewan Al-Muktafil Billah Shah semalam.

Beliau yang memperoleh CGPA 3.74 dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko dan Takaful) turut berkongsi rahsia kejayaan — sentiasa mengulangkaji dan tidak lokek berkongsi ilmu.

“Setiap kali peperiksaan, saya bantu rakan-rakan menelaah bersama. Dengan cara itu, saya sendiri jadi lebih memahami pelajaran,” katanya.

Anak jati Kuala Terengganu itu menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya, Che Wan Roslan Che Wan Muda dan Mek Wook Tarzan, atas doa dan dorongan berterusan.

Dalam pada itu, penerima bersama Anugerah Pelajaran DiRaja, Koh Wen Xuan dari Negeri Sembilan, turut berkongsi pengalaman menyesuaikan diri di Kampus Besut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi Pertanian.

“Pada awalnya agak sukar kerana saya berasal dari bandar, tetapi rakan-rakan dan aktiviti kampus banyak membantu saya menyesuaikan diri serta membahagikan masa dengan baik,” ujarnya.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )