
Projek Bukit Keluang–Bukit Bubus: Model pembangunan luar bandar berimpak tinggi
BESUT, 7 Nov — Panorama indah, udara laut yang segar dan laluan berbukit yang menawan — inilah yang menanti pengguna di Jalan Alternatif Bukit Keluang–Bukit Bubus, projek bernilai RM51 juta yang kini menjadi kebanggaan baharu penduduk Besut.
Menghubungkan Kampung Tembila ke Bukit Keluang sepanjang 2.5 kilometer, jalan baharu ini dilengkapi dua jambatan merentasi Sungai Keluang Besar dan Kecil, sekali gus menjadikannya tarikan baharu pelancongan pesisir.
“Jalan ini mercu tanda baharu DUN Kota Putera, dengan pemandangan yang bertaraf antarabangsa. Ia bakal mengubah landskap pelancongan tempatan,” kata ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.
Namun, beliau turut mengingatkan pengguna agar tidak menjadikan laluan ini tempat lumba haram, selepas pihak polis menjalankan tiga operasi penguatkuasaan walaupun projek itu belum dirasmikan.
“Ini kemudahan rakyat, bukan untuk disalah guna. Saya tidak mahu ia menjadi punca kehilangan nyawa,” tegasnya.
Menurut Pengarah JKR Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim, projek yang siap pada 9 Oktober 2025 itu telah memendekkan perjalanan sebanyak 12 kilometer dan menerima anugerah pengurusan keselamatan dan alam sekitar cemerlang.
Wakil KKDW, Mohd Sabri Ramly, pula menyatakan projek ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkasakan pelancongan dan infrastruktur luar bandar di bawah RMK-12, dengan Terengganu antara negeri penerima tertinggi.
Kini, jalan baharu yang membelah pesisir Bukit Keluang itu bukan sekadar laluan fizikal, tetapi simbol kemajuan, tanggungjawab dan keindahan alam yang wajar dijaga bersama.

