
RTB Tebing Tembah Bantu Lebih 600 Rakyat Miliki Tanah
KUALA TERENGGANU, 6 Mei – Projek tanaman Kelapa Pandan di Kampung (Kg) Tebing Tembah yang dirancang sejak 2008 kini berubah haluan apabila kerajaan negeri memutuskan untuk membangunkan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah demi keutamaan generasi muda.
Langkah ini dilihat lebih praktikal dan mampu membuka ruang kepada hampir 600 pemohon memiliki rumah sendiri, berbanding meneruskan projek pertanian yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan hanya memberi ‘keuntungan’ kepada 96 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, projek tanaman Kelapa Pandan di tanah milik kerajaan itu sebelum ini melibatkan kawasan seluas 96 ekar dengan rancangan pemberian sekitar satu ekar seorang kepada 96 penduduk Kg Tebing Tembah.
“Pada tahun 2019, satu kertas kerja telah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah.
“Namun, permohonan tersebut ditangguhkan setelah mengambil kira lokasi tanah yang sangat strategik, berada di tengah kampung serta bersebelahan SMK Dato’ Engku Bijaya Sura dan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini.
-Trdi

