
Semangat Luar Biasa Anak OKU Ubah Duka Jadi Legasi
BESUT, 4 November – Ketika ramai mungkin menyerah pada nasib, Allahyarham Mohd Faizal Ismail atau Adik Ja memilih untuk melawan. Anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) dari Terengganu itu membuktikan bahawa kekuatan tidak terletak pada tubuh, tetapi pada semangat yang tidak pernah mati.
Pada usia 19 tahun, beliau disahkan menghidap kegagalan buah pinggang sepenuhnya akibat komplikasi leptospirosis, dan perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu. Namun, arwah tidak pernah menganggap penyakitnya sebagai penghalang untuk belajar dan berjaya.
Dengan tekad dan sokongan penuh ibunya, Saripah Abd Kadir, beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2022 — suatu pencapaian yang memberi inspirasi kepada ramai.
“Walaupun diuji dengan penyakit kronik sejak muda, arwah membuktikan bahawa ilmu dan cita-cita mampu dicapai jika ada kesungguhan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan serta Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim.
Ketika melawat keluarga arwah di Kampung Kepala Gajah, Jabi, beliau berkata pemergian Adik Ja pada usia 29 tahun bukan hanya meninggalkan kenangan buat keluarga, tetapi legasi semangat dan ketabahan kepada seluruh masyarakat.
“Semoga kisah arwah terus menjadi inspirasi untuk anak muda menilai erti sebenar perjuangan dan kasih sayang,” katanya.

