
Taufan Tino ganggu jadual penerbangan di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU, 3 Nov — Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) mengalami kelewatan ketara pada Isnin malam, dipercayai berpunca daripada Taufan Tino yang sedang melanda Filipina dan memberi kesan kepada sistem cuaca serantau.
Antara penerbangan yang terjejas ialah AirAsia AK5141, dijadual berlepas pada 7.45 malam namun tertunda selama tiga jam 19 minit, serta AK5115 yang sepatutnya berlepas 9.20 malam tetapi ditangguh tiga jam 40 minit.
Penerbangan AK5137 dan AK5119 juga mengalami kelewatan lebih dua jam, manakala ketibaan dari Kuala Lumpur seperti AK5118 dan AK5114 tiba hampir empat jam lewat.
Bagaimanapun, penerbangan domestik ke Sandakan dan Tawau tidak terjejas.
Kakitangan AirAsia memaklumkan kelewatan itu disebabkan gangguan jadual pesawat akibat Taufan Tino, meskipun sistem cuaca tersebut tidak secara langsung menjejaskan laluan penerbangan di ruang udara Sabah.
Jurucakap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata operasi lapangan terbang berada dalam keadaan terkawal dengan pemantauan berterusan.
Taufan Tino turut mencetuskan pemindahan besar-besaran di Filipina selepas membawa hujan lebat dan angin kencang, dan dijangka memberi kesan terhadap cuaca di beberapa kawasan di Borneo, termasuk Sabah.

