
Menawan Dunia Dari Sarawak: Borneo Cultures Museum Kini No.1 Dunia, Atasi Louvre Paris
KUCHING, 4 Nov — Borneo Cultures Museum (BCM) di Sarawak mencipta sejarah apabila menewaskan Muzium Louvre di Paris untuk menduduki tempat pertama dunia dalam undian laman rasmi Museum World Ranking.
Sehingga jam 1.30 tengah hari ini, BCM menerima 4,245 undi, manakala Louvre mencatatkan 4,027 undi, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh museumworldranking.net.
Turut berada dalam senarai 10 terbaik dunia ialah National Museum of Anthropology (Mexico), National Palace Museum (Taipei), Guggenheim Bilbao (Sepanyol), Getty Centre (Amerika Syarikat), Art Institute of Chicago, Houston Museum of Natural Science, Uffizi Galleries (Itali) dan Royal Ontario Museum (Kanada).
Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan BCM sebagai muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara, yang telah menjadi mercu tanda kebudayaan dan pelancongan Sarawak sejak pembukaannya pada Mac 2022.
Terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg, muzium lima tingkat ini mempersembahkan kekayaan warisan etnik Sarawak melalui pameran interaktif dan tematik yang menarik perhatian pelawat tempatan serta antarabangsa.
Menurut Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, muzium tersebut telah menarik lebih 1.35 juta pengunjung dari lebih 150 negara setakat pertengahan 2025.
BCM tersenarai buat kali pertama dalam Museum World Ranking tahun ini di kedudukan 305 daripada 413 muzium dunia, dan menjadi satu daripada hanya tiga muzium Malaysia yang diiktiraf bersama Muzium Negara dan Muzium Tekstil Negara di Kuala Lumpur.

