
Skuad Junior Campuran Negara Raih Perak di Kejohanan Petanque Asia 2025
KUALA LUMPUR, 9 November 2025 – Skuad petanque campuran junior negara menutup tirai Kejohanan Petanque Asia Ke-6 dengan penuh semangat apabila berjaya meraih pingat perak selepas tewas 2-13 kepada Thailand A dalam aksi final yang berlangsung di Arena Petanque Kuala Lumpur hari ini.
Pasukan Thailand yang diperkuatkan oleh dua juara dunia acara campuran junior precision shooting, Suekham Pannada dan Aramrod Saharat, jelas mendominasi permainan selepas permulaan yang seimbang. Skuad muda Malaysia yang dibarisi Muhammad Aidil Zakri Junaidi, Muhammad Arsyad Muhammad Tajuddin, Siti Noor Ellyshatul Balqish Suhaimi, dan Nur Erissya Najwa Helmey sempat mengikat kedudukan 1-1 pada awal permainan, namun lawan mula menunjukkan kelebihan teknikal dan taktikal untuk mengatasi Malaysia 6-1, 10-2 sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan bergaya.
Walaupun gagal membawa pulang emas, kejayaan menamatkan saingan di tangga kedua tetap dianggap pencapaian besar bagi pasukan muda negara yang baru pertama kali beraksi di pentas Asia.
“Kami sudah memberikan segalanya. Cuma lontaran jauh tidak menjadi seperti yang dirancang, manakala pasukan Thailand sangat tepat dalam setiap pukulan mereka,” kata Arsyad. “Masih banyak yang perlu diperbaiki terutama dalam teknik pointing seperti kawalan, putaran dan angkatan bola. Namun kami tetap gembira dapat mara ke final dalam kejohanan pertama bersama. Ini menjadi motivasi untuk kami kembali lebih kuat.”
Jurulatih skuad kebangsaan, Muhd Nuzul Azwan Ahmad Temizi, turut memuji semangat juang serta ketenangan pemain muda bimbingannya walaupun tempoh persiapan mereka amat singkat.
“Pasukan ini baru dibentuk pada Julai lalu dan sebahagian besar sesi latihan dijalankan secara dalam talian. Pemain kita mempunyai asas kukuh hasil program SUKMA, tetapi kekurangan pendedahan antarabangsa berbanding Thailand yang menurunkan dua juara dunia. Dalam situasi itu, mereka masih mampu memberikan aksi yang membanggakan,” katanya. “Pingat perak ini membuktikan program pembangunan petanque junior negara berada di landasan yang betul.”
Sementara itu, skuad beregu tiga lelaki dan wanita negara turut menghadiahkan pingat gangsa selepas tewas di separuh akhir masing-masing kepada pasukan Kemboja.
Pasukan lelaki (Malaysia B) diwakili Mohd Muqri Arif Mohd Sapiny, Khairul Amirul Zamrul Hisyam, Muhd Idham Shahrulzahari dan Muhd Nuzul Azwan, manakala skuad wanita menampilkan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Siti Asiah Zaini, serta Nur Iman Aina Ahmad Sabti.
Kontinjen Malaysia turut mempamerkan aksi memberangsangkan dalam acara precision shooting, apabila Nur Iman Aina Ahmad Sabti, Muhd Harith Muhaimin Hafaizul, dan Muhd Nuzul Azwan masing-masing menyumbang dua perak dan satu gangsa.
Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan kejohanan selaku tuan rumah di tangga keempat dengan tiga perak dan tiga gangsa, pencapaian yang dianggap sebagai petanda positif menjelang Sukan SEA di Thailand bulan depan. Thailand muncul juara keseluruhan dengan tiga emas, diikuti Kemboja (dua emas, satu perak) dan Indonesia (satu emas, satu gangsa).

