
Ilham Tower Sdn Bhd Dibenar Semak Tindakan SPRM Rampas Menara Ilham
KUALA LUMPUR, 4 Nov — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Syarikat Ilham Tower Sdn Bhd memulakan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyitaan Menara Ilham, yang dikaitkan dengan keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Hakim Datuk Amarjeet Singh turut membenarkan perintah penangguhan sementara (ad-interim stay) sehingga 1 Disember, bagi menghalang SPRM daripada melaksanakan sebarang tindakan pelucuthakan ke atas bangunan berkenaan di Jalan Binjai, sementara menunggu pendengaran penuh permohonan berhubung semakan kehakiman itu.
Menurut hakim, keputusan tersebut diambil untuk mengelakkan sebarang tindakan lanjut yang boleh menjejaskan proses kehakiman sebelum kes didengar sepenuhnya.
Melalui permohonannya, Ilham Tower Sdn Bhd menuntut agar mahkamah mengisytiharkan tindakan SPRM tidak sah dan terbatal, serta memohon perintah certiorari dan mandamus bagi membatalkan notis rampasan, selain menangguhkan semua tindakan pelaksanaan berkaitan sehingga semakan kehakiman diselesaikan.
Dalam prosiding berkenaan, Ilham Tower diwakili oleh Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au, manakala pihak SPRM dan responden lain termasuk Tan Sri Azam Baki, pegawai kanan SPRM, pendakwa raya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kerajaan Malaysia, diwakili oleh Peguam Persekutuan Kanan Nurhafizza Azizan.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 23 Jun 2025 melalui firma guaman Messrs Raj & Sach, dengan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, balu kepada Allahyarham Tun Daim, disenaraikan sebagai salah seorang pengarah syarikat.
SPRM sebelum ini mengumumkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Rampasan Harta Tak Alih di bawah Seksyen 51(1) Akta SPRM, bertarikh 4 Jun 2025, membabitkan Menara Ilham.

