
Kerajaan, Polis Diperintah Bayar RM3 Juta Kepada Keluarga Amri Che Mat
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada keluarga aktivis Amri Che Mat kerana gagal menyiasat kehilangan beliau dengan sewajarnya.
Hakim Su Tiang Joo memutuskan kerajaan dan polis telah melanggar tanggungjawab statutori dan bertindak bertentangan dengan Perlembagaan.
Mahkamah mengarahkan bayaran RM2 juta ganti rugi am, RM1 juta ganti rugi teladan, RM14,457.52 ganti rugi khas, dan RM250,000 kos guaman kepada Norhayati Ariffin, isteri Amri.
Hakim turut mengarahkan Ketua Polis Negara menyingkirkan pegawai penyiasat sedia ada dan melantik pasukan baharu untuk menyambung siasatan.
Amri, pengasas NGO Perlis Hope, dilaporkan hilang sejak 2016, dan sehingga kini nasibnya masih tidak diketahui.
Norhayati menzahirkan rasa syukur atas keputusan itu tetapi mengakui kesedihan masih menyelubungi dirinya kerana suaminya belum ditemui.

