‘Muslim Choice’ Bukan Pengiktirafan Halal Diiktiraf – Kerajaan Negeri Terengganu

‘Muslim Choice’ Bukan Pengiktirafan Halal Diiktiraf – Kerajaan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Nov — Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa isu halal bukan hanya berkisar kepada hukum agama semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek keyakinan pengguna, kebersihan, keselamatan serta integriti sesuatu produk atau premis makanan.

Penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan yang timbul berikutan penggunaan istilah ‘Muslim Choice’ oleh sebuah pertubuhan yang didakwa memberikan pengiktirafan kepada produk dan premis tertentu tanpa kelulusan pihak berkuasa agama.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjelaskan bahawa penggunaan istilah tersebut oleh Muslim Friendly Watch (MFW) tidak membawa maksud pengiktirafan halal yang diiktiraf oleh JAKIM atau mana-mana Majlis Agama Islam Negeri.

Menurut beliau, hanya JAKIM dan Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) mempunyai kuasa sah di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta membenarkan penggunaan logo rasmi ‘Halal Malaysia’.

“Sebarang penggunaan simbol, label atau istilah yang menyerupai pengiktirafan halal selain daripada yang diluluskan oleh pihak berkuasa boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengguna Muslim dan menjejaskan kredibiliti sistem pensijilan halal negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariffin menasihati pengguna Muslim agar hanya mempercayai dan merujuk kepada pensijilan halal rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, bagi memastikan sesuatu produk atau premis benar-benar memenuhi piawaian syariah dan standard kebersihan yang telah ditetapkan.

“Walaupun inisiatif seperti ‘Muslim Choice’ boleh dianggap sebagai langkah meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan dan konsep mesra Muslim, ia tidak boleh disamakan atau menggantikan pensijilan halal rasmi yang diiktiraf,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk menyemak status halal produk melalui aplikasi Verify Halal atau portal rasmi Halal Malaysia, bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan ketulenan sesuatu produk.

Dalam masa sama, beliau menggesa para usahawan Muslim di negeri ini untuk memohon pensijilan Halal JAKIM, bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan syarak, tetapi juga untuk meningkatkan kredibiliti produk serta memperluas peluang pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan terus memberikan bimbingan dan bantuan kepada usahawan dalam proses permohonan sijil halal, supaya lebih banyak produk tempatan mendapat pengiktirafan sah dan berdaya saing di pasaran global,” katanya.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )