Kerjasama BN-PH Kekal Kukuh, Rundingan Kerusi di Sabah Tamat – Tok Mat

Kerjasama BN-PH Kekal Kukuh, Rundingan Kerusi di Sabah Tamat – Tok Mat

PUTATAN (6 Nov): Barisan Nasional (BN) menegaskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Sabah kekal utuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad, yang juga Timbalan Presiden Umno, memaklumkan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan telah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan kawasan.

“Semua kerusi telah dipersetujui. Kini, perbincangan tertumpu kepada pemilihan calon. Kita sudah tahu kawasan yang akan ditandingi dan jentera kita bersedia digerakkan sebaik sahaja hari penamaan calon diumumkan,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Kampung Contoh di sini, hari ini.

Beliau menegaskan perpaduan antara BN dan PH kekal kukuh dalam menghadapi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyatakan keyakinannya bahawa Ketua Umno Bahagian Putatan, Jeffrey Noh, layak diberikan peluang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.

“Jeffrey telah bekerja keras membina semula bahagian Umno di Putatan selepas pilihan raya lalu. Walaupun tidak menang sebelum ini, kesetiaannya dan sokongan akar umbi menunjukkan beliau calon yang wajar diberi peluang,” katanya yang juga Menteri Luar.

Menurutnya, penyandang DUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya, kini kekal bersama GRS.
“BN telah ada calon bersedia – Jeffrey Noh,” tambahnya.

Senarai penuh calon BN akan diumumkan oleh Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada 9 November ini.

Mohamad turut meninjau persiapan jentera BN di Putatan dan berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan.
“Kalau jalan sesak, kita akan guna motosikal. Jika ada penyokong yang uzur tetapi tetap mahu keluar mengundi, kita akan sediakan kerusi roda,” katanya berseloroh.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )