
‘Saya Tak Bertanding Kerana Nama Bapa, Tapi Kerana Amanah Rakyat’ — Yamani
KOTA KINABALU, 10 Nov — Bagi Datuk Yamani Hafez Musa, nama besar bapanya tidak menjamin kemenangan, sebaliknya kepercayaan rakyat yang menentukan segalanya.
Calon PKR bagi DUN Sindumin itu berkata, beliau mahu membuktikan bahawa politik berasaskan khidmat dan hasil kerja lebih penting daripada latar belakang keluarga.
“Mungkin ada yang rasa saya terbeban dengan nama keluarga, tapi bagi saya tidak. Demokrasi memberi peluang kepada semua,” katanya.
Yamani yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan II menjelaskan beliau sedang menumpukan usaha turun padang bagi mengenal pasti keperluan penduduk setempat.
Beliau berkata manifesto akan diumumkan tidak lama lagi dan berjanji memberi fokus kepada pembangunan akar umbi.
Katanya, kawasan Sindumin amat bermakna kerana menjadi titik permulaan perjalanan politiknya.
“Saya kenal masyarakat di sini, dan saya yakin mampu membawa perubahan positif,” tambahnya.

