
Gempa bumi Myanmar: Kerja pembersihan 80 peratus selesai di Mandalay
HANOI: Kerja-kerja pembersihan bangunan yang rosak akibat gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada 28 Mac lepas kini hampir 80 peratus selesai di Mandalay dan kira-kira 50 peratus di Sagaing, menurut laporan media rasmi negara itu yang dipetik Agensi Berita Vietnam (VNA).
Akhbar Global New Light of Myanmar memetik laporan Jabatan Bomba Myanmar menyatakan bahawa jalan-jalan utama di Mandalay yang terjejas akibat gempa bumi telah dibersihkan daripada serpihan bagi mengelakkan halangan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Sementara itu di Sagaing, operasi pembersihan masih diteruskan dengan bantuan jentera berat untuk membuang serpihan daripada struktur besar yang terletak di kawasan tinggi.
Setakat 1 Mei, data rasmi menunjukkan gempa bumi dengan magnitud 7.9 di Myanmar telah meragut sekurang-kurangnya 3,835 nyawa, mencederakan lebih 5,000 orang dan menyebabkan 105 individu masih hilang.
— BERNAMA

