
GRS bakal umum calon pada 12 November, Hajiji yakin mengekalkan momentum kemenangan
MENUMBOK — Tiga hari sebelum hari penamaan calon, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijadual mengumumkan senarai calonnya pada 12 November ini, menurut Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
“Kerusi sudah diagihkan, jadi kalau parti lain mahu umum dulu, silakan. Kita pula akan umum pada 12 November,” katanya ringkas ketika ditemui selepas majlis rasmi di Menumbok semalam.
Majlis berkenaan merangkumi Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Menumbok 2025–2035, penyerahan kunci Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), perasmian Masjid Nur Ihsan, serta penyerahan warta tanah dan bantuan Yayasan Limus Jury.
Dalam ucapannya, Hajiji yang juga Pengerusi GRS melahirkan keyakinan bahawa gabungan itu mampu menang dalam PRU DUN Sabah ke-17 pada 29 November, hasil pemilihan calon berwibawa yang mampu menambat hati rakyat.
“Di Kuala Penyu pun kita sudah ada calon yang diyakini boleh menang. Kalau kita menang nanti, kerajaan akan terus melaksanakan SMJ 2.0 untuk kesinambungan pembangunan,” tegasnya.
Beliau turut menyambut baik usaha menghidupkan semula cadangan pembinaan jambatan Labuan–Sabah, sambil menyifatkannya sebagai projek penting yang dapat memperkukuh hubungan wilayah dan meningkatkan ekonomi tempatan, khususnya di Menumbok dan Kuala Penyu.

