
Meta perluas capaian AI, pengguna Malaysia kini dapat akses versi laman web
Meta dilihat terus memperkukuh kedudukannya dalam arena kecerdasan buatan (AI) dengan membolehkan pengguna di Malaysia mengakses laman web Meta AI, sekali gus memperluas pasaran global bagi teknologi pembantu mayanya.
Melalui platform ini, pengguna boleh berinteraksi dengan AI Meta, menjana kandungan multimedia seperti video dan imej, serta menelusuri video “Vibes” yang dihasilkan oleh pengguna lain di seluruh dunia.
Namun, walaupun laman web kini boleh diakses, fungsi AI masih belum diaktifkan dalam aplikasi Meta seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp di Malaysia.
Pengguna yang telah memuat turun aplikasi Meta AI masih boleh menyemak semula hasil ciptaan mereka melalui aplikasi tersebut.
Meta AI yang mula diperkenalkan pada Oktober tahun lalu kini menjadi sebahagian penting strategi Meta untuk menyaingi pembangun AI lain seperti Google dan OpenAI, dengan mengintegrasikan teknologi itu terus ke dalam ekosistem aplikasinya.
Pemerhati industri menjangkakan Meta akan melancarkan fungsi penuh kepada pengguna Malaysia tidak lama lagi, sejajar dengan usaha syarikat itu memperluas capaian AI bersepadu di rantau Asia Tenggara.

