Kerajaan Perlu Tangani Isu Stok Minyak Masak Sebelum Laksanakan Subsidi Bersasar – Penganalisis

Kerajaan Perlu Tangani Isu Stok Minyak Masak Sebelum Laksanakan Subsidi Bersasar – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Ketika kerajaan merancang memperkenalkan subsidi bersasar bagi minyak masak, pakar ekonomi mengingatkan bahawa langkah itu tidak akan berkesan selagi isu kekurangan stok bersubsidi di pasaran tidak diselesaikan.

Menurut Prof. Madya Dr. Ida Md Yasin dari PUTRA Business School, masalah utama ketika ini ialah ketidakstabilan bekalan — bukan semata-mata ketirisan atau kelayakan penerima.

“Masalah sebenar bukan siapa yang layak, tetapi bekalan itu sendiri tiada. Jika pengguna tidak dapat membeli minyak bersubsidi di pasar raya, dasar bersasar tidak membawa makna,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Beliau menekankan bahawa sebarang dasar perlu dirancang secara menyeluruh, termasuk dengan melibatkan pengusaha runcit kecil dan pembekal luar bandar, agar akses kepada barangan bersubsidi tidak hanya terhad kepada pasar raya besar.

Dr. Abdul Rais Abdul Latiff dari USM pula menambah bahawa pelaksanaan yang tidak teliti boleh mencetuskan ketidakpuasan awam dan menjadi isu politik ekonomi berpanjangan.

“Kerajaan perlu memastikan sistem dan infrastruktur pelaksanaan benar-benar efisien agar subsidi bersasar tidak menjadi beban baru kepada rakyat,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar bagi barangan asas secara berperingkat untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang layak, seperti pelaksanaan subsidi diesel dan BUDI MADANI RON95.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )