ATM Sedia Hantar Pasukan Pengaman ke Gaza

ATM Sedia Hantar Pasukan Pengaman ke Gaza

SUBANG, 5 Nov — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza, sejajar dengan komitmen kerajaan Malaysia dalam usaha mengekalkan keamanan sejagat di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, berkata penghantaran Batalion Malaysia ke-13 (MALBATT 850-13) di bawah misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) mencerminkan kesinambungan peranan Malaysia dalam misi keamanan antarabangsa bersama Angkatan Tentera Diraja Brunei (ATDB).

“Ini adalah penugasan bersejarah. Selain membawa pulang sebahagian kelengkapan, kita juga akan terus memberi latihan kepada tentera Lubnan dan meninggalkan beberapa peralatan untuk kegunaan mereka,” katanya pada Majlis Pemakaian Beret PBB dan Penyerahan Bendera Malaysia di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Beliau berkata proses membawa pulang aset ketenteraan dari Lubnan akan dilakukan secara berperingkat mulai pertengahan tahun ini dan dijangka selesai sepenuhnya mengikut jadual.

Selepas 13 siri penugasan, katanya, kini tiba masanya untuk tentera Lubnan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab keselamatan negara mereka.

Dalam masa sama, Mohd Nizam menegaskan bahawa Malaysia bersedia menghantar pasukan pengaman ke Gaza, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malaysia sentiasa komited. Datuk Seri Anwar sendiri telah menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza. Dalam sebulan dua ini kita akan lihat perkembangan lanjut, dan menjelang hujung tahun dijangka ada keputusan sama ada di bawah mandat PBB atau sebaliknya,” ujarnya.

Menurutnya, ATM kini sedang meneliti bentuk penugasan yang sesuai — sama ada pasukan mekanisasi penuh atau gabungan logistik dan perubatan, bergantung kepada mandat yang diberikan.

Beliau menegaskan, ATM akan kekal bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan peranan Malaysia dalam misi keamanan dunia terus dihormati.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )