
PGM Palm Resort: Edven Lengkapkan Hat-Trick, Winnie Kekal Konsisten Dari Awal Hingga Tamat
SENAI — Kejohanan Tertutup PGM Palm Resort 2025 melakar satu lagi detik manis buat golf Malaysia apabila dua pemain muda negara, Edven Ying dan Winnie Ng, tampil sebagai juara dengan gaya penuh meyakinkan.
Edven, yang sebelum ini menjuarai kejohanan di Pekan dan Port Dickson, sekali lagi mencuri perhatian apabila menyudahkan tiga pusingan dengan skor -8. Corak permainannya kali ini lebih matang, terutama dalam aspek ketenangan di green serta kawalan jarak pukulan.
Di belakangnya, Marcus Lim memberikan tentangan hebat namun menamatkan saingan satu pukulan di belakang (-7). Kedudukan ketiga dikongsi oleh dua pemain berpengalaman, Daeng Rahman dan Gavin Green (-6).
Bagi kategori wanita, Winnie Ng berada dalam kelas tersendiri. Dari pusingan pertama hingga pusingan ketiga, Winnie mengekalkan rentak stabil dan agresif yang membuahkan keputusan luar biasa — 11 bawah par.
Beliau meninggalkan pencabarnya, Liyana Durisic (-6), dengan jarak selesa.

