
Ronald Kiandee Kembali Bertanding di Sugut Selepas 35 Tahun
PENAMPANG, 11 Nov — Selepas lebih tiga dekad meninggalkan pentas politik negeri, Datuk Seri Ronald Kiandee kembali mewarnai gelanggang asal perjuangannya apabila diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).
Kemunculan semula beliau di kerusi berkenaan menandakan satu putaran penuh perjalanan politiknya. Kali terakhir Ronald bertanding di Sugut ialah pada tahun 1990, namun tewas dalam pertandingan lima penjuru kepada calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Jublee Zen.
Kini, setelah 35 tahun, beliau kembali ke kawasan yang menjadi sebahagian daripada Parlimen Beluran, yang turut merangkumi DUN Telupid dan DUN Labuk. Sebagai Ahli Parlimen Beluran, langkah beliau kembali ke Sugut dilihat bukan sekadar simbolik, tetapi juga strategi untuk memperkukuh kedudukan PN di pantai timur Sabah.
Majlis pengumuman calon PN Sabah yang berlangsung hari ini turut mencuri perhatian apabila Datin Tiaminah Ele diumumkan sebagai calon PN di DUN Sulaman, yang kini disandang oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata gabungan itu akan meletakkan 41 calon pada PRN kali ini, dengan hampir 90 peratus terdiri daripada muka baharu dan sekitar 30 peratus calon muda.
“Semua calon telah melalui proses saringan yang teliti dan menyeluruh bagi memastikan kelayakan serta integriti mereka. Lima daripada jumlah itu ialah calon wanita, iaitu sekitar 15 peratus daripada keseluruhan senarai,” katanya.
Pada PRN Sabah ke-16 pada tahun 2020, PN memenangi 17 kerusi DUN, merangkumi 11 kerusi melalui Bersatu dan enam kerusi menerusi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri ketika itu bersama GRS.
Kembalinya Ronald ke Sugut selepas 35 tahun dijangka menjadi antara pertarungan yang paling diperhatikan kali ini. Penganalisis politik berpendapat reputasi serta hubungan akar umbi beliau di Beluran berpotensi memberi kelebihan kepada PN dalam usaha memperkukuh sokongan di kawasan pantai timur.

