
RUU baharu cerminan hubungan fiskal baharu antara kerajaan Persekutuan dan negeri
KUALA LUMPUR: Ramai mungkin tidak tahu bahawa setiap negeri di Malaysia menerima dana tahunan daripada kerajaan Persekutuan berdasarkan jumlah penduduk — ia dikenali sebagai pemberian mengikut bilangan orang (capitation grant).
Selepas lebih 20 tahun tanpa semakan, kerajaan kini akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang di Parlimen bagi meningkatkan kadar pemberian itu sebanyak 25% mulai 2026.
Langkah ini akan menaikkan jumlah keseluruhan capitation grant kepada RM548 juta, berbanding RM439 juta sebelum ini, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Kewangan Negara 6 Mac lalu.
Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa kenaikan ini bersifat progresif — negeri kecil seperti Perlis dan Melaka akan menerima kadar peratus lebih tinggi, sementara negeri besar seperti Selangor dan Johor menerima kadar tetap yang lebih sederhana.
Inisiatif ini membantu memastikan pembahagian hasil negara lebih adil, di mana negeri berpenduduk sedikit tetapi mempunyai keperluan tinggi tetap mendapat sokongan kewangan mencukupi untuk pembangunan asas, kemudahan awam, dan kebajikan rakyat.
RUU ini juga merupakan sebahagian daripada reformasi fiskal Kerajaan MADANI, yang bertujuan memperkukuh kedudukan kewangan negeri dan memastikan manfaat ekonomi negara sampai kepada semua lapisan masyarakat.

