Syarikat bas kemalangan di Gerik yang ragut 15 nyawa pelajar UPSI didenda RM20,000

Syarikat bas kemalangan di Gerik yang ragut 15 nyawa pelajar UPSI didenda RM20,000

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memaklumkan bahawa Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd telah didenda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik, Perak, selepas disabitkan atas dua kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.

Dalam prosiding pada 3 November lalu, mahkamah mendapati syarikat berkenaan bersalah di bawah Peraturan 6(1)(f) kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urusan perniagaan dengan pihak tidak berlesen.

Motac menjelaskan bahawa syarikat tersebut mengaku bersalah kerana menjual serta menyewakan bas pelancong bernombor pendaftaran PLD 8892 kepada Noreen Maju Trading, sebuah entiti yang tidak memiliki lesen sah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

Kes ini berkaitan kemalangan tragik pada 9 Jun yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mencederakan 33 individu lain ketika bas terbabit dalam perjalanan pulang ke Tanjung Malim.

Mahkamah mengenakan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan hukuman penjara lima tahun sekiranya denda tidak dijelaskan.

Motac dalam kenyataannya menegaskan bahawa pelanggaran terhadap Akta 482 adalah kesalahan jenayah serius, dan kementerian akan terus memperketatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta integriti industri pelancongan terpelihara.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )