Trump Ugut Serang Nigeria: Dr. Khalil Dakwa Wujud Agenda Tersirat Amerika

Trump Ugut Serang Nigeria: Dr. Khalil Dakwa Wujud Agenda Tersirat Amerika

KUALA TERENGGANU, 5 Nov — Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, mendakwa kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengancam untuk menyerang Nigeria atas alasan membela penganut Kristian sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi berkait kepentingan politik dan ekonomi global.

Menurut Dr. Khalil, ugutan itu bukan berpunca daripada keprihatinan terhadap isu agama, sebaliknya usaha memulihkan sokongan pengundi Kristian di Amerika dan menguasai kekayaan minyak, gas serta sumber nadir bumi yang banyak terdapat di Afrika.

“Trump secara tiba-tiba memberi amaran mahu menyerang Nigeria kononnya kerana penindasan terhadap Kristian, sedangkan hakikatnya ia hanya alasan untuk menutup agenda kuasa dan ekonomi Amerika,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

Beliau berkata, pentadbiran Trump turut dipengaruhi gerakan Kristian Zionis yang menyokong penuh rejim Israel, namun perang Taufan al-Aqsa di Palestin telah mencetuskan kesedaran baharu dalam kalangan rakyat Amerika, termasuk tokoh konservatif seperti Tucker Carlson, yang kini mula mempertikaikan dasar luar negara itu.

Dr. Khalil turut menempelak sikap Trump yang berdiam diri terhadap serangan Israel ke atas gereja di Gaza dan pembunuhan wartawan Kristian Palestin, Shireen Abu Akleh, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan beliau membela penganut Kristian.

“Jika benar Trump mahu mempertahankan Kristian, mengapa beliau senyap ketika gereja di Gaza dibom dan wartawan Kristian dibunuh?” ujarnya.

Beliau menyifatkan isu Nigeria hanya dalih bagi membenarkan Amerika dan sekutunya kembali memperluas pengaruh di Afrika, ketika benua itu kini semakin cenderung bekerjasama dengan China dan Rusia.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )