
Tun Mahathir Bidas ART 2025: Malaysia Hilang Hak Menentukan Haluan Sendiri
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) antara Malaysia dan Amerika Syarikat berpotensi menjejaskan kedaulatan ekonomi negara dengan membuka ruang penguasaan kuasa luar terhadap dasar domestik.
Menurut beliau, kandungan perjanjian itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan tidak seimbang, apabila syarat dan faedah lebih banyak berpihak kepada Amerika Syarikat berbanding manfaat sebenar yang diterima oleh rakyat.
“Perjanjian ini bukan sekadar mengurangkan tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus, tetapi ia mengikat kita kepada kehendak ekonomi Washington. Malaysia kehilangan kebebasan berdagang dengan negara lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjanjian tersebut melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak Raja-Raja Melayu, hak Bumiputera dan kuasa kerajaan negeri.
Dr Mahathir mendakwa bahawa sektor-sektor strategik negara — termasuk pertanian, makanan, tenaga, ketenteraan dan nadir bumi — akan terdedah kepada pengaruh luar jika ART 2025 diteruskan tanpa semakan semula.
“Jika kita tidak berhati-hati, keseluruhan ekonomi negara akan dikuasai oleh dasar luar yang bukan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.

