
Datuk Wong Thien Fook antara calon pilihan UPKO di DUN Inanam
KOTA KINABALU: Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook disebut-sebut bakal bertanding di kerusi DUN Inanam pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Wong, yang berpengalaman luas sebagai pemimpin akar umbi, dikenali kerana sumbangan besarnya dalam pembangunan masyarakat Inanam serta peranannya sebagai Pemimpin Kemajuan Rakyat sebelum ini.
Beliau dianggap antara tokoh yang dekat dengan rakyat melalui usaha memperjuangkan isu infrastruktur, ekonomi dan kebajikan sosial penduduk tempatan.
Menurut penganalisis politik UiTM Sabah, Cyril Supain, kekuatan Wong terletak pada hubungan akrabnya dengan masyarakat pelbagai kaum serta gaya kepimpinan yang sederhana dan mesra rakyat.
“Beliau berpotensi besar mengukuhkan pengaruh UPKO dan PH di Inanam, terutama dalam kalangan pengundi Cina dan bumiputera bandar,” katanya.
Sumber parti bagaimanapun menjelaskan, keputusan rasmi mengenai calon masih menunggu pengesahan pimpinan tertinggi UPKO dan PH.
Jika dicalonkan, Wong dijangka berdepan persaingan sengit di kerusi DUN Inanam — salah satu kerusi panas di bawah Parlimen Sepanggar.

