Komuniti Muslim New York Rai Kemenangan Bersejarah Zohran Mamdani

Komuniti Muslim New York Rai Kemenangan Bersejarah Zohran Mamdani

NEW YORK, 5 Nov — Penduduk Muslim di New York meraikan kejayaan Zohran Mamdani, 34, selepas beliau diumumkan sebagai Datuk Bandar New York yang baharu, sekali gus mencipta sejarah sebagai individu Muslim dan berketurunan Asia Selatan pertama memegang jawatan tertinggi di kota metropolitan itu.

Ahli politik sosialis daripada Parti Demokrat dan penggubal undang-undang negeri dari Queens itu menewaskan calon bebas Andrew Cuomo, bekas gabenor, serta calon Republikan Curtis Sliwa, dalam antara kejutan politik terbesar New York sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan memperoleh lebih 50 peratus undi daripada lebih dua juta pengundi, kemenangan Mamdani disambut meriah di beberapa kawasan termasuk Astoria, Queens, tempat kempen akar umbinya bermula.

Bagi ramai penduduk Muslim, kemenangan itu membawa makna mendalam.
Zamzani Ali, penduduk Brooklyn, menyifatkan kemenangan itu sebagai simbol perjuangan rakyat bandar raya tersebut.

“Zohran Mamdani mewakili perjuangan semua rakyat New York — demi kehidupan lebih baik, gaji setimpal, sewa berpatutan dan keadilan untuk semua,” katanya kepada Anadolu Agency.

Menurutnya, kemenangan itu juga memberi harapan baharu kepada komuniti Muslim yang telah lama berdepan diskriminasi, terutama sejak tragedi 11 September 2001.

“Dulu, umat Islam sering dipersalahkan dan dijadikan sasaran. Kini seorang Muslim mengetuai kota ini — itu sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.

Mamdani mengetengahkan dasar progresif seperti pembekuan kadar sewa, pengangkutan awam percuma, penjagaan kanak-kanak universal dan pasar raya milik bandar, serta menaikkan gaji minimum kepada AS$30 sejam menjelang 2030 melalui kenaikan cukai ke atas syarikat dan golongan kaya.

Dalam ucapannya di Teater Paramount, Brooklyn, Mamdani berikrar membina pentadbiran inklusif.

“Kami akan membentuk Dewan Bandaraya yang berdiri bersama komuniti Yahudi dan di mana lebih sejuta Muslim tahu mereka diterima.

Tidak akan ada lagi Islamofobia yang menjadi jalan kemenangan pilihan raya di New York,” katanya disambut sorakan.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menyifatkan kemenangan itu sebagai “titik perubahan bersejarah” dalam penglibatan politik umat Islam di Amerika Syarikat, dengan menegaskan bahawa keberanian Mamdani mempertahankan hak rakyat Palestin menandakan penolakan terhadap Islamofobia dan perkauman anti-Palestin dalam politik Amerika.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )