Keputusan Kerajaan Persekutuan Mengenai 40% Hasil Negeri Ukur Komitmen Hormati Hak Sabah – Joniston

Keputusan Kerajaan Persekutuan Mengenai 40% Hasil Negeri Ukur Komitmen Hormati Hak Sabah – Joniston

KIULU, 5 Nov — Keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil negeri Sabah akan menjadi petunjuk sebenar sejauh mana Putrajaya benar-benar komited dan ikhlas dalam menghormati hak negeri ini yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Joniston Bangkuai.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menegaskan bahawa isu berkenaan tidak harus dilihat semata-mata dari sudut politik, sebaliknya sebagai satu tanggungjawab moral dan perlembagaan yang tertunggak lebih lima dekad.

“Ini bukan soal politik atau kepentingan mana-mana pihak, tetapi soal menghormati janji yang termaktub dalam Perlembagaan. Hak ini dijamin secara sah dan sudah lama tiba masanya untuk ditepati,” katanya pada majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Talantang, di sini, hari ini.

Joniston berkata, beliau yakin hubungan baik antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan kerajaan Persekutuan akan membantu membuka jalan kepada keputusan yang adil serta menguntungkan rakyat Sabah.

“Kami berharap Putrajaya menunjukkan kematangan politik dengan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Tindakan sebaliknya hanya akan mengecewakan rakyat dan menjejaskan keyakinan terhadap komitmen kerajaan pusat terhadap Sabah,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi baru-baru ini memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu menyemak semula agihan hasil 40 peratus kepada Sabah dalam tempoh 90 hari dan mencapai perjanjian baharu dalam masa 180 hari.
Keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 2(1), Bahagian IV Jadual Kesepuluh, yang memperuntukkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih yang dikutip dari negeri ini — satu janji yang tidak pernah dipenuhi sejak tahun 1974.

Joniston, yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata pelaksanaan keputusan itu akan menjadi langkah penting dalam mengurangkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, terutama di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur asas, pertanian dan kemudahan awam.

“Menunaikan hak ini bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan, tetapi juga satu langkah konkrit untuk memulihkan kepercayaan rakyat Sabah terhadap keikhlasan kerajaan pusat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama dan kini mahukan tindakan berani serta ketegasan politik, bukan lagi alasan atau penangguhan berterusan.

“Sudah hampir 50 tahun rakyat Sabah menantikan hak mereka. Inilah masa untuk menunjukkan kejujuran dan keberanian politik dalam menegakkan keadilan,” tegasnya.

Dalam majlis sama, Joniston turut menyerahkan beberapa unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada penerima di Kampung Talantang, sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar.

Sehingga kini, lebih 100 unit rumah SMJ telah disiapkan di kawasan Kiulu, manakala Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor baru-baru ini mengumumkan peningkatan kepada 50 unit bagi setiap kawasan DUN mulai tahun hadapan.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )