
Ajil Fun Walk 2025: Langkah Ceria Eratkan Komuniti Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 9 November – Suasana pagi di Ajil semalam cukup meriah apabila lebih 1,000 peserta pelbagai peringkat umur berkumpul di Dataran Ajil Trade Centre bagi menyertai Ajil Fun Walk 2025.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil ini bermula seawal jam 7.30 pagi dan dirasmikan oleh ADUN Ajil, Maliaman Kassim yang turut menyertai peserta dalam acara riadah tersebut.
“Kita mahu masyarakat Ajil hidup sihat, ceria dan saling bersatu. Sambutan kali ini luar biasa dan membuktikan semangat komuniti yang hebat,” kata Maliaman selepas acara pelepasan.
Peserta berjalan santai sejauh lima kilometer, mengelilingi pekan Ajil sambil menikmati suasana ceria hujung minggu. Turut diadakan ialah senam aerobik, cabutan bertuah dan pameran kesihatan, menjadikan program ini lebih bertenaga dan menyeronokkan.
Peserta bertuah pulang dengan pelbagai hadiah menarik termasuk gold bar, peralatan elektrik dan hamper.
Acara yang mendapat sambutan besar ini turut disertai oleh kelab belia, agensi kerajaan dan NGO yang bersama-sama menjayakan usaha mempromosikan gaya hidup sihat serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

