Mahkamah Benarkan Keluarga Daim Cabar Pembekuan Akaun oleh SPRM

Mahkamah Benarkan Keluarga Daim Cabar Pembekuan Akaun oleh SPRM

KUALA LUMPUR: Keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan SPRM membekukan akaun bank milik mereka.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman memutuskan bahawa permohonan keluarga Daim telah memenuhi semua keperluan undang-undang dan boleh diteruskan ke peringkat perbicaraan penuh.

Mahkamah menetapkan 19 November ini bagi pengurusan kes selanjutnya.

Permohonan tersebut difailkan oleh Toh Puan Na’imah Abdul Khalid bersama empat anak mereka dan 18 syarikat milik keluarga, yang turut menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, dan beberapa pegawai kanan SPRM sebagai responden.

Peguam mereka, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, mendakwa tindakan SPRM itu dibuat tanpa asas kukuh dan bercanggah dengan undang-undang kerana tiada sebarang kertas siasatan rasmi dibuka.

Namun, pihak kerajaan berpendapat pembekuan akaun di bawah Akta AMLA 2001 sah dilakukan untuk tujuan siasatan dan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Tun Daim meninggal dunia pada 13 November 2024, namun keluarganya meneruskan usaha perundangan ini bagi membersihkan nama dan mempertahankan hak milik mereka.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )