
Erdogan: Dunia Islam mesti bersatu bantu Syria bangkit semula
ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengumumkan satu program khas di bawah COMCEC Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyokong pemulihan Syria selepas lebih sedekad konflik berlarutan.
Erdogan berkata program itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti manusia, pertukaran kepakaran serta analisis keperluan untuk memperkukuh institusi Syria.
“Selama hampir 14 tahun, saudara-saudara kita di Syria menanggung penderitaan besar. Lebih sejuta nyawa terkorban dan jutaan lagi terpaksa melarikan diri, termasuk 3.6 juta ke Turkiye,” katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri COMCEC ke-41.
Beliau menegaskan bahawa Turkiye akan terus menyokong rakyat Syria dalam aspek pendidikan, keselamatan, perdagangan dan sosial, sambil menyeru negara Islam lain supaya memperkukuh kerjasama untuk memastikan perpaduan politik dan kemakmuran berpanjangan di negara itu.
“Penyepaduan semula Syria dalam ekonomi serantau akan memberi faedah bukan hanya kepada rakyatnya, tetapi juga kepada kestabilan rantau Islam secara keseluruhan,” tegas Erdogan.

