Pembangkang desak kerajaan jawab tuduhan Jeneral Thailand, pertahan maruah negara

Pembangkang desak kerajaan jawab tuduhan Jeneral Thailand, pertahan maruah negara

KUALA LUMPUR — Dakwaan Jeneral (Bersara) A. Rangsi Kitiyansap terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “pengkhianat” dan “pengintip Amerika Syarikat” mencetuskan perdebatan hangat di Dewan Rakyat apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan segera daripada Wisma Putra.

Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat Kementerian Luar Negeri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) menegaskan, kerajaan tidak boleh berdiam diri terhadap dakwaan itu yang jelas mencabar maruah Perdana Menteri dan imej Malaysia.

“Tuduhan ini bukan dibuat oleh pempengaruh media sosial, tetapi oleh bekas jeneral tentera Thailand. Ini memerlukan tindak balas diplomatik yang sewajarnya agar kredibiliti Malaysia tidak tercalar,” katanya.

Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (Arau) turut bersuara, memohon agar kerajaan segera menjelaskan kedudukan sebenar.

Katanya, beliau sendiri sering mempertahankan Perdana Menteri sebagai tokoh penting ASEAN, tetapi tanpa maklumat rasmi, beliau tidak dapat terus berbuat demikian di luar negara.

Wawancara tular yang menjadi punca kontroversi itu menunjukkan Kitiyansap mendakwa perjanjian damai Thailand–Kemboja telah membuka ruang kepada pengaruh Amerika Syarikat terhadap ekonomi Thailand melalui kerjasama perdagangan dan nadir bumi (REE).

Ahli Parlimen pembangkang sepakat bahawa kerajaan mesti bertindak pantas kerana isu ini bukan sekadar menyerang Anwar secara peribadi, tetapi turut melibatkan maruah negara dan kredibiliti diplomasi Malaysia di peringkat ASEAN.

terengganunews.my

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )