
MIHAS@Shanghai 2025: Malaysia pacu industri halal ke arah inovasi global
SHANGHAI — MIHAS@Shanghai 2025 menjadi pentas penting yang menandakan kemajuan besar Malaysia dalam memperkukuh peranan sebagai peneraju ekonomi halal dunia, dengan sasaran jualan dinaikkan kepada RM3 bilion.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sambutan menggalakkan daripada pembeli dan pempamer antarabangsa menunjukkan jenama halal Malaysia semakin kukuh di peringkat global.
“Dengan penyertaan lebih 20 pembeli premium, kami yakin nilai jualan mampu melepasi RM3 bilion. Malaysia kini dilihat bukan sekadar pengeluar produk halal, tetapi juga pusat inovasi dan teknologi halal dunia,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sedang memperluas skop industri halal meliputi produk teknologi, elektronik, dan penyelesaian berasaskan penyelidikan, seiring transformasi industri halal global.
Selain itu, Ahmad Zahid menekankan kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam dan produk pelaburan hijau, yang semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa termasuk di China.
“Malaysia menjadi pelopor utama dalam pembangunan sistem kewangan Islam global. Kini, Hong Kong turut muncul sebagai hab serantau hasil kerjasama dengan Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan telah bersetuju secara prinsip untuk menaik taraf HDC kepada Suruhanjaya Pembangunan Halal, bagi memastikan ekosistem halal Malaysia berkembang dengan tadbir urus yang lebih komprehensif.
“MIHAS@Shanghai bukan sekadar pameran perdagangan, tetapi simbol hubungan erat Malaysia dan China dalam membina ekosistem halal moden yang berteraskan inovasi dan kelestarian,” katanya.

